PEKAN: Kanak-kanak lelaki maut dipercayai akibat didera bapa tirinya di Kampung Padang Rumbia, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu mangsa, Muhammad Hafiz Abdullah, 6, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia.

Katanya, mangsa dibawa oleh ibu dan bapa tirinya ke klinik berkenaan selepas didapati tidak sedarkan diri.

“Sebaik saja tiba di klinik berkenaan, doktor yang memeriksa mangsa mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan akibat didera iaitu kesan lebam di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah dan lebam sebelah mata kanan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menahan ibu dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 25 dan 54 tahun bagi membantu siasatan.

Siasatan awal juga mendapati bapa tirinya mengaku memukul pada hari kejadian.

“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.