Begitulah nasib seorang warga Pakistan apabila dihukum penjara dan denda kerana cuba merasuah polis yang menahan rakannya.

Pembantu kedai runcit, Syed Ijaz Ali Shah, 28, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas tuduhan menawarkan suapan RM150 kepada Ketua Balai Polis Sungai Siput Utara, Inspektor Abdul Wahed Hamid pada 1.30 petang, 20 Mac lalu.

Tertuduh berbuat demikian sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadap rakannya, Ali Usman yang ditangkap atas kesalahan menyalahguna Pas Lawatan Sosial yang disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.

Tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hakim S. Indra Nehru kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Perak, R. Kumuthambal.