IPOH –  Expo MATTA Fair Perak yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 16 Mac di Ipoh Parade dijangka akan menarik lebih 300,000 pengunjung.

Menurut Pengerusi Penganjur MATTA Fair 2018, Mohamad Hisam Mohamad Yusof, pihaknya yakin penganjuran ekspo itu mampu menarik minat pengunjung untuk bercuti ke dalam dan luar negara.

“Tahun lepas lebih RM30 juta jualan berjaya direkodkan menerusi ekspo ini. Kami jangka tahun nilai jualan yang dicatatkan akan lebih tinggi daripada tahun lepas dan tahun sebelumnya.

001fa55e-0a13-424c-be30-cc77f76ba6a9

“Syarikat penerbangan Malindo Air juga akan mengaktifkan laluan Ipoh-Medan pada 16 Mac dan ini kena pada waktunya. Dari segi pelancongan di Perak, kita tonjolkan beberapa destinasi menarik seperti Taman Tema Animasi Movie (MAPS) dan Lost World of Tambun.

“Bagi yang ingin bercuti ke luar negara, lokasi yang bersesuaian ialah di Eropah memandangkan musim dan cuaca di sana sesuai untuk anda yang inginkan pengalaman berbeza,” ujar Mohamad Hisam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Pejabat MATTA Perak di sini pada Jumaat.

Tambahnya, lebih 80 gerai pameran dan jualan yang terdiri daripada agensi pelancongan, perkhidmatan perbankan serta perhotelan akan mengambil bahagian di ekspo tersebut.

Menurutnya, 60 cabutan serta baucer tunai menanti anda dengan pelbagai hadiah menarik disertakan termasuk pelbagai pakej dengan harga berpatutan disediakan kepada orang ramai.

Antara agensi yang akan mengambil bahagian ialah Deluxe Tours (Perak) Sdn Bhd, Tourism Perak, Keris Travel & Tour Sdn Bhd serta Sharifah Nor Travel & Tours Bhd.