IPOH – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Perak menyasarkan jualan pakej pelancongan berjumlah RM42 juta pada MATTA Fair Perak yang akan berlangsung di negeri ini tidak lama lagi.

Pengerusi MATTA Perak, Chong Yu Ken berkata, MATTA Fair Perak tahun ini akan berlangsung di AEON Big Falim pada 7 hingga 9 September ini.

“Kita menjangkakan lebih 35,000 pengunjung akan hadir ke pameran pelancongan ini yang julung kalinya menampilkan perbezaan dengan tahun-tahun sebelum ini.

“Pameran kali ini berbeza kerana ia akan diadakan di Aeon Big Falim yang mempunyaitempat yang lebih luas dan selesa kepada pengunjung dan juga penganjur,” katanya pada satu sidang media di sini pada Isnin.

Tambah beliau lagi, sebanyak 104 ruang pameran yang mempromosikan pelbagai produk pelancongan dari dalam dan luar negeri ini akan menyertai pameran selama tiga hari berkenaan.

Chong turut memberitahu, MATTA Fair Perak merupakan pilihan yang terbaik untuk orang ramai yang bercadang untuk melancong ke luar negara kerana ia lebih dipercayai dan telus melalui pakej-pakej yang ditawarkan.

“Kita akui tempahan melalui dalam talian itu lebih mudah namun kadang-kadang terdapat pakej yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan dan ia akhirnya boleh merugikan pelanggan.

“Jadi saya rasakan pameran MATTA Fair dan melalui agen-agen ini adalah antara yang paling selamat untuk orang ramai mencari pakej-pakej pelancongan yang dimahukan,” jelas beliau.