SUNGAI SIPUT: Seorang warga emas maut selepas digilis jentolak yang sedang dibaikinya di sebuah kawasan pemunggahan tanah Perlop 2, Kg Lasah di sini pada pagi Khamis.

Dalam kejadian sekitar 8.05 pagi itu, mangsa, Dzuhir Mohd Isa, 69 dipercayai sedang berada di bahagian bawah untuk membaiki jentolak sebelum kenderaan berkenaan mengelongsor ke belakang dan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superitendan A. Pamnaswaran berkata siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang pekerja sendiri dan berasal dari Sungai Siput.

“ Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa hendak membaiki jentolak berkenaan dan sewaktu kejadian, jentolak tersebut telah menggelongsor ke belakang.

“Kejadian itu telah menyebabkan kepala pemandu yang berada di bahagian tayar belakang sebelah kanan digilis dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Khamis.

Pamnaswaran berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan “Multi-Organ Injury Post Trauma” dan kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.