MIRI: Seorang lelaki maut dihempap paip besi ketika memeriksa hasil tangkapan di dalam bubu yang dipasangnya di dalam parit berdekatan loji rawatan kumbahan di Vista Perdana, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Ngau Wan Uyo, 57, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius.

Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Lopeng, Terry Robson, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki terbaring dihempap sebatang paip sepanjang lebih 10 meter di tepi parit.

“Batang paip itu diletakkan bersebelahan parit tempat mangsa memasang bubu. Difahamkan secara tiba-tiba paip itu bergolek dan menghempap mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan bantuan jentera milik sebuah syarikat pembinaan di lokasi itu.

Katanya, pihaknya terpaksa mengalihkan batang paip tersebut untuk mengeluarkan mangsa yang disahkan meninggal dunia.

Kes itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut – berita harian