SLIM RIVER: Jurutera maut apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas dalam kemalangan di Kilometer 375 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa, Izzudin Hamdan, 26, berasal dari Setiawan, dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian dan dipercayai dalam perjalanan bersama rakannya yang menungggang secara berasingan ke Ulu Bernam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmat Mat Isa berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke lorong tengah lebuh raya menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV).

Menurutnya, mototosikal mangsa turut diseret SUV berkenaan yang dipandu lelaki berusia 58 tahun sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Mangsa yang tercampak turut dilanggar pula oleh kereta dan lori yang lalu ketika itu.

“Pemandu dan penumpang lain tidak mengalami kecederaan, manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – myMetro