SUNGAI BULOH: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori sampah dari belakang di Kilometer 447, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun berasal dari Pasir Linggi, Gua Musang, Kelantan, itu cedera parah di kepala dan mengalami pendarahan teruk sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori sampah dan motosikal, masing-masing dalam perjalanan menghala selatan.

“Siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dilanggar lori sampah yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun dari belakang.

“Kejadian menyebabkan mangsa terbabas ke lorong kecemasan dan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan waris sudah dihubungi untuk proses pengecaman dan tuntutan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian