Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu bertembung dengan kereta lain di Jalan Tun Razak berhampiran Perpustakaan Negara, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, BMW dipandu seorang lelaki masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Myvi dipandu mangsa.

Sumber polis berkata, mangsa, Ahmad Alrefaee M Azmi, 21, memandu dari arah Bulatan Pahang ke Jalan Semarak.

“Pemandu kereta BMW itu pula masuk ke laluan bertentangan dari Lorong Kuda dan meneruskan perjalanan menggunakan Jalan Tun Razak.

“Sebaik tiba di hadapan perpustakaan, kedua-dua kenderaan ini bertembung menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, seorang penumpang BMW cedera ringan manakala pemandu dan tiga lagi penumpang selamat.