MUALIM  – Seorang remaja maut selepas melanggar belakang kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan diseret beberapa meter di Kilometer 364.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan.

Mangsa, E Narandran, 19 dari Taman Desa Bakti, Teluk Intan meninggal dunia di tempat kejadian telah dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 10.17 malam itu mendapati kenderaan JPJ yang dari Tapah ke Slim River berhenti untuk memberi bantuan kepada sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan enjin di lorong kecemasan.

Menurutnya, ketika sedang memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan, motosikal yang ditunggang Narandran telah melanggar sebelah kanan kenderaan itu menyebabkan mangsa terpelanting ke lorong kiri.

“Kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di lorong kiri berkenaan melanggar dan menyeret mangsa beberapa meter ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan manakala spesimen darah akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

-SinarHarian