GERIK – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di KM 117.8 Jalan Kuala Kangsar – Pengkalan Hulu berhampiran Kampung Pahit Luar, di sini petang semalam.

Mangsa Mohd Niezwan Mohamaed Ali, 37, dari Kampung Pulai, Merlimau Melaka, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Gerik pada jam 6.10 petang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika mangsa sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys 650 bersama tiga lagi rakannya dari arah Betong menuju ke Kuala Lumpur.

“Apabila tiba ditempat kejadian laluan selekoh tajam, mangsa dipercayai telah terbabas sendiri dan terjatuh dan mangsa disahkan meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Gerik.

“Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘severe chest injury secondary to MVA’,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Ismail, keadaan jalan ketika kejadian merupakan jalan dua hala yang mempunyai selekoh tajam serta menurun bukit dari arah Gerik ke Pengkalan Hulu.

“Permukaan jalan juga kering selain cuaca yang baik serta kiri kanan jalan merupakan kawasan belukar. Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – sinar harian