BANDAR KUALA KANGSAR – Seorang lelaki maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas di susur masuk Tol Kuala Kangsar, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa, Zairin Anwar Awaluddin, 30, menunggang berseorangan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dari Ipoh ke Kuala Kangsar terbabas lalu melanggar pengadang besi di kanan jalan.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan. Akibatnya, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Motosikal jenis Kawasaki ditunggang mangsa juga mengalami kerosakan serius di bahagian depan. Keadaan cuaca baik pada waktu tersebut.

“Mangsa terbabas di jalan berselekoh sebelum Tol Kuala Kangsar. Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih diteruskan,” katanya semalam.

Tambah Wan Jamil, tiada tangkapan dibuat dalam insiden tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-SinarHarian