PARIT BUNTAR – Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggang terbabas ke bahu jalan di Parit Lintang, Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa, Mohd Zulhilmi Jalaludin,32, berasal dari Kampung Parit Tok Ngah, di sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lebih kurang jam 5.40 pagi, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan satu kemalangan maut berlaku di lokasi berkenaan melibatkan sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

“Apabila mangsa tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan sebelah kiri.

“Kesan kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala sewaktu terjatuh daripada motosikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – sinar