PADAWAN: Seorang anggota tentera maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang bertembung dengan sebuah bas sekolah, di Jalan Puncak Borneo berhampiran Kampung Bratan, di sini pagi ini.

Mangsa, Joharie Safri, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang, selain mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala dan muka.

Sumber memberitahu NSTP, nahas berlaku selepas mangsa gagal mengelak sebuah bas dari arah bertentangan, lalu merempuh bahagian lampu hadapan sebelah kiri bas.

“Akibat daripada impak pelanggaran berkenaan, bahagian bawah kiri bas terbabit hancur dengan motosikal berkuasa tinggi itu terperosok. Mangsa pula dipercayai patah tulang belakang dengan bahagian muka dan badan berada di bawah motosikal terbabit.

“Mangsa meninggal dunia serta merta akibat impak kuat ketika pelanggaran dengan bas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, ketika mengesahkan kejadian berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi tadi dengan mengerahkan sembilan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Siburan.

“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat, selain turut melaksanakan kerja pembersihan,” katanya.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.40 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan – berita harian