KLUANG: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik dan terhumban ke dalam gaung di Kilometer 64.2 Jalan Yong Peng-Kluang, berhampiran Jalan Padang Tembak, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, Jurkifli Hassan, 50, dari Kampung Sri Tambak, Kluang, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata ketika kejadian mangsa dipercayai sedang menuju ke arah Batu 4 Mersing.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai datang dari arah Bulatan Taman Sri Lambak menuju ke arah Mersing.

“Namun apabila sampai di tempat kejadian, kereta Proton Wira dipandu mangsa tiba-tiba terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di situ dan terhumban ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ketika kejadian hujan gerimis dan pemeriksaan mendapati tiada lampu jalan di kawasan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian