DUA maut selepas kereta yang dinaiki merempuh pikap yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 90 Jalan Betong – Sarikei, Betong, semalam.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, Lo Sin Hee, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpangnya, Albert Lau Zheng, 11, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Betong.

Kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Savvy disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca selepas Toyota Unser yang dipandu wanita dari arah Bintulu ke Kuching hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Pada masa yang sama, Toyota Hilux dari arah bertentangan yang dipandu seorang anggota polis tidak sempat mengelak sebelum kenderaan itu bertembung.

“Akibatnya, Toyota Hilux berkenaan melintang di tengah laluan menyebabkan kereta dipandu mangsa yang maut tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan itu.

“Pemandu Toyota Unser dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Toyota Hilux pula cedera.

“Mangsa yang disahkan maut dibedah siasat di Hospital Betong dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil menghubungi polis bagi menyalurkan maklumat = hmetro