KULIM: “Selepas membeli nasi lemak dari saya, mangsa menaiki motosikal dan bergerak tidak sampai satu meter, secara tiba-tiba sebuah kereta merempuh motosikalnya dan mangsa melambung sebelum terhempas ke seberang jalan.”

Demikian cerita seorang peniaga nasi lemak yang hanya mahu dikenali sebagai

Aishah, 50, yang menyaksikan kemalangan meragut nyawa penunggang motosikal Muhammad Nabil Roshisham, 18 tahun, di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Taman Rambai jam 7.30 pagi tadi, mangsa maut akibat parah di badan dan kepala selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Axia dipandu seorang lelaki.

“Mangsa baru selesai membeli nasi lemak di kedai saya dan ingin ke kedai minuman yang terletak berhampiran sebelum dirempuh kereta terbabit.

“Saya menjerit ketakutan apabila melihat mangsa melambung ke seberang jalan dan meminta orang ramai membantu mangsa,” katanya ketika di temui dekat sini.

Difahamkan pemandu kereta terbabit yang datang dari arah Stadium Keladi terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Aishah berkata, mangsa masih lagi bernafas dan mengerang kesakitan selepas rempuhan itu tetapi disahkan telah meninggal dunia oleh kakitangan perubatan yang tiba dengan ambulans sejurus kemudian.

“Arwah sering membeli nasi lemak di gerai ini, saya sangat sedih memandangkan arwah terbunuh dalam kemalangan di depan mata saya.”

“Mangsa tinggal di Taman Seri Mahkota bersama ibunya dan jika ibunya bekerja dia akan tinggal bersama bapa saudara di Kampung Keladi berhampiran taman ini,” katanya.

Sementara itu ibu mangsa, Nora Hamid, 46 berkata, dia baru sahaja mula bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kelang Lama apabila mendapat panggilan daripada abangnya memaklumkan kemalangan itu.

“Sebaik menerima laporan saya bergegas ke rumah abang saya sebelum dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Arwah anak bongsu dari tiga adik beradik dan sejak dari kecil lagi arwah tinggal bersama bapa saudaranya jika saya keluar bekerja.

“Arwah Nabil seorang yang mudah mesra dengan sesiapa pun dan sentiasa murah senyuman,” katanya ketika di temui di Bilik Forensik Hospital Kulim hari ini.

Nora berkata, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira jam 7 pagi selepas menghantarnya ke rumah bapa saudaranya.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang petanda pelik cuma awal bulan ini arwah meluahkan hajat ingin memakai jubah putih untuk sambutan Aidilfitri.

“Tetapi saya memaklumkan warna itu mudah nampak kotor jika terkena makanan” katanya.

Menurutnya, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Keladi, hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian kemalangan itu dan kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 987 – berita harian