Taiping: Wanita maut selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki bersama dua orang lain yang terbabas ke bahu jalan di kilometer 220 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Taiping, hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, mangsa V Kaliani, 58, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah dibeberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, pemandu kereta berkenaan dan seorang lagi penumpang turut cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5.57 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapati kereta terbabas manakala seorang mangsa tercampak keluar dari kereta berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala pemandu cedera di kepala dan seorang lagi penumpang cedera ringan.

“Bomba menyerahkan mangsa yang maut kepada polis dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat,” katanya.