KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas tergelincir ketika mengecat bangunan Apartment Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata ketika kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 37 tahun menggunakan sky lif pada tingkat 13 untuk mengecat bangunan berkenaan.

“Menurut saksi, ketika kejadian mangsa bersama rakan sekerjanya sedang mengecat bangunan itu sebelum tergelincir lalu terjatuh dari ketinggian tingkat 13 bangunan terbabit.

“Mangsa yang parah di kepala serta kaki selain patah tangan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik PPUKM untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya – berita harian