SEORANG isteri yang menunggu kepulangan suaminya terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu maut ketika menangkap ikan di sungai berhampiran Masjid Kampung Bukit Kechik di Tanah Merah, semalam.

Kejadian berlaku jam 6 petang, ketika Mohd Nasir Yaacob, 52, dikatakan menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik dengan alat generator diletakkan dalam perahu yang dinaikinya,

Isteri mangsa, Nurul Lezlinde Zambri, 30, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah sebelum jiran datang memaklumkan tragedi menimpa arwah.

“Sebelum keluar, suami hanya beritahu dia ingin meninjau kawasan pencarian madu lebah di sekitar Kampung Kelisar, Batu Gajah dan tidak pula beritahu mahu menangkap ikan di sungai itu.

“Arwah keluar sejak jam 11 pagi lagi, tetapi saya gagal menghubunginya kerana telefon bimbit ditinggalkan di rumah. Jadi saya hanya tunggu kepulangan dia sehingga dimaklumkan berita ini,” katanya yang ditemui di pekarangan unit kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM), hari ini.

Nurul Lezlinde berkata, arwah menyara keluarga dengan mencari dan menjual madu selain ikan yang ditangkap di sungai berdekatan.

Katanya, pekerjaan itu sudah dilakukan sejak lapan tahun lalu dan dia reda kehilangan lelaki itu kerana sudah ditakdirkan Ilahi.

“Saya anggap ini suratan takdir kerana arwah meninggal dunia ketika mencari rezeki untuk kami,” katanya yang mempunyai seorang anak bersama arwah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Hanaffi Mohd, berkata mangsa didapati sudah meninggal dunia ketika anggotanya tiba di tempat kejadian pada jam 8.55 malam.

“Maklumat awal diterima, mangsa mencari ikan di sungai berhampiran Masjid Kampung Bukit Kechik menggunakan teknik renjatan elektrik,” katanya.

Mangsa di hantar ke HTM untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya, hari ini – hmetro