TUMPAT: Seorang lelaki ditemui mati akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Sungai Nyior, Palekbang di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, mangsa yang berusia 41 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di dalam semak bersebelahan tiang elektrik.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata mangsa ditemui dengan kesan terbakar pada pakaian, serta dada melecur.

“Turut ditemui adalah sebatang playar yang ada kesan terbakar dan dompet berisi kad pengenalan milik mangsa.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat,” katanya.

Ab Rashid turut menolak kemungkinan ada cubaan mencuri kabel walaupun setakat ini tiada kes kecurian kabel dilaporkan di daerah Tumpat – berita harian