KAMPAR: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik di rumahnya di belakang Pasar Malim Nawar, dekat sini awal pagi Khamis.

Kejadian dipercayai berlaku jam 6.15 pagi itu, apabila mangsa Chai Teik Kean, 25, ditemui dalam keadaan berdarah di kepala, mulut dan hidung, berhampiran sambungan wayar.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, kejadian disedari bapa mangsa selepas Teik Kean yang berada di dalam bilik tidak menjawab panggilannya.

Menurut beliau, bapa mangsa kemudian memasuki bilik berkunci itu dengan memanjat bahagian atas bilik bersebelahan dan menemui anaknya dalam keadaan tertiarap di lantai.

“Tiada senjata tajam ditemui di tempat kejadian dan mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau memberitahu, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut disebabkan oleh renjatan elektrik dan mayatnya sudah dituntut bapa mangsa untuk dikebumikan.

Setakat ini hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan mati mengejut.