KLUANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 55.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Hairil Md Razali, 19, disahkan meninggal dunia berikutan parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham, berkata dalam nahas jam 10.50 pagi itu, Mohamad Hairil dipercayai dalam perjalanan balik dari Johor Bahru ke Kampung Batu 7, Simpang Renggam, dekat sini.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, mangsa terlanggar sebuah kereta dipercayai rosak yang diletakkan di bahu jalan dan terjatuh sebelum dilanggar sebuah motosikal ditunggang oleh Norman Nordin, 22, yang datang dari arah sama.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, untuk bedah siasat.

“Norman yang parah turut dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu kereta, Nur Helina Hamdan tidak cedera,” katanya kepada pemberita.

Muhamad berkata, bedah siasat mangsa akan dilakukan pada jam 8 malam ini sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian – berita harian