MALANG tidak berbau apabila seorang pemandu lori maut akibat tersepit ketika sedang memeriksa bahagian enjin lorinya di syarikat pengangkutan di Jalan Haruan, Kawasan Perindustrian Oakland, Seremban 2, Seremban, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan 2 Munawir Md Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.25 pagi dan mengerahkan sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba tujuh minit kemudian pihaknya mendapati mangsa, Ng Koor Min, 66, dalam keadaan tersepit dan tidak sedarkan diri.

“Kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera di kepala.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang memeriksa bahagian enjin lori berkenaan sebelum kepala lori itu terjatuh lalu menghempap mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis sebelum mayat dibawa Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat -hmetro