KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan syarikat telekomunikasi Maxis digantung tugas selepas video memaparkan tindakannya yang tidak beretika mengherdik dua pekerja termasuk seorang wanita hamil, menjadi viral.

Video selama satu minit 36 saat itu memaparkan wanita yang dipercayai majikan kepada dua pekerja wanita terbabit, diherdik dan dimarahi akibat gagal mematuhi arahan serta tugasan.

Wanita terbabit berkata “Kamu duduk di sini dan hantar sms (khidmat pesanan ringkas) sekarang! Tengok sini, kenapa kamu tidak boleh buat apabila saya suruh kamu lakukannya?

“Kamu (wanita hamil)! Apa yang kamu pandai buat?” kata wanita terbabit kepada dua pekerjanya.

Susulan daripada kejadian itu, Maxis menerusi akaun Twitter mengeluarkan kenyataan berhubung insiden terbabit.

“Baru-baru ini, sebuah video berhubung insiden di tempat kerja menarik perhatian kami. Kami kesal dengan insiden terbabit yang kini dalam siasatan sementara pekerja terbabit sudah digantung tugas.

“Insiden ini tidak mencerminkan nilai syarikat, sebaliknya kami mengamalkan nilai bersemangat tinggi, positif dan persekitaran kerja yang harmoni bagi semua pekerja,” katanya.

Maxis juga sudah menghubungi pekerja yang terjejas selain menyatakan kekesalan terhadap kejadian itu – berita harian