IPOH: Seorang pengutip sampah terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan dalam bakul plastik di kawasan longgokan sampah di Jalan Meru Impian 6, Halaman Meru Impian, di sini pada Isnin.

Mayat yang masih bertali pusat ditemui kira-kira jam 1.45 petang ketika lelaki berkenaan meneliti sebuah bakul bertutup berwarna biru, sebelum ternampak rambut dalam gulungan tuala biru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, pemeriksaan menemui bayi yang cukup sifat dan bertali pusat namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Bayi tersebut dijumpai di dalam sebuah bakul di kawasan longgokan sampah. Keadaannya hasil daripada pemeriksaan pihak hospital tadi, mengatakan telahpun meninggal dunia.

“Anggaran berat kita tak dapat nak pastikan sebab forensik sedang membuat pemeriksaan.

“Kita juga tidak menjumpai sebarang dokumen atau nota, kita cuma bayi dibaluti sehelai tuala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti individu yang bertanggungjawab meletakkan mayat bayi berkenaan.

Mayat kemudiannya dihantar ke jabatan forensik, hospital raja permaisuri bainun untuk bedah siasat.