IPOH: Mayat bayi yang dipercayai telah dimakan binatang ditemui di dalam longkang di tepi kandang lembu di belakang Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, semalam.

Mayat itu ditemui orang awam kira-kira jam 10 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, objek itu disahkan mayat bayi dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, menurut beliau, hasil bedah siasat tidak dapat mengenal pasti jantina  bayi kerana  sebahagian anggota badan dan organ telah tiada disyaki dimakan binatang.

“Hal ini kerana, terdapat kesan koyakan dan carik pada paha mayat bayi tersebut dan sebab utama kematian adalah “Unascertained (Decomposition)”.

“Bedah siasat berakhir pukul 10.30 pagi dan Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, beberapa bahagian tulang bayi berkenaan sudah diambil sebagai sampel untuk analisis terperinci dijalankan bagi membantu siasatan.