AMPANG JAYA: “Saya ingatkan anak kucing tetapi bila saya angkat, kain balutan terlerai dan saya nampak kepala bayi,” kata Adam Mikael Mohd Abdillah, 9, yang menemui mayat bayi perempuan diletakkan dalam beg kanvas.

Adam berkata, beg itu ditemui tergantung di kawasan wakaf surau berhampiran rumahnya di Rumah Pangsa Kos Sederhana 940, Pandan Indah, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Katanya, kawasan wakaf surau itu memang menjadi tempat dia dan adiknya bermain setiap pagi sebelum ke sekolah tengah hari.

“Saya nampak beg itu tergantung di tiang wakaf surau, kemudian saya cucuk beg itu dengan kayu dan rasa lembut.

“Ketika itu saya menyangka ada anak kucing di dalam beg berkenaan, saya angkat beg itu dan meletakkan di atas bangku wakaf.

“Kemudian saya nampak balutan kain, saya mula rasa pelik kalau kain sahaja ia tidak akan seberat itu, bila saya bawa keluar kain dan cuba angkat, balutan terlerai dan nampak kepala bayi, saya terus berlari ke rumah memaklumkan kejadian itu kepada datuk saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Pengerusi Surau Ikhwan Muslimin, yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan, 61, berkata wakaf tempat mayat bayi itu ditemui dibina oleh pihak surau berkenaan.

Katanya, dia mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang penduduk di blok berkenaan

“Saya sempat melihat keadaan bayi itu, bayi perempuan itu saya percaya baharu sahaja dilahirkan.

“Kepalanya masih basah dengan kesan darah dan air, saya lihat bayi itu cukup sifat, jari kaki dan tangan semua cukup, malah tali pusatnya dipotong dengan sempurna.

“Anggota polis kemudian tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan oleh seorang penduduk,” katanya – berita harian