KOTA BHARU: Mayat bayi perempuan yang dipercayai baharu lahir ditemui di dalam parit di Kampung Atas Pengget, di sini tengah hari tadi.

Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui seorang mekanik, Mat Jusoh Awang, 54, ketika ingin masuk ke tandas yang terletak di belakang rumahnya.

Beliau, yang pulang ke rumah kira-kira jam 1 tengah hari tadi untuk memberi makan kepada biri-biri peliharaannya, terlihat seakan-akan anak patung di dalam parit itu ketika ingin masuk ke tandas.

“Sebaik ingin memijak kaki di tangga tandas, mata saya terpandang satu objek di dalam parit dan menyangkakan ia anak patung.

“Saya melihat objek itu mempunyai tali pusat dan rupa-rupanya ia adalah bayi perempuan yang sudah mati.

“Saya juga ternampak uri dipercayai milik bayi itu beberapa meter dari mayatnya,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan, di sini, hari ini.

Mat Jusoh berkata bayi itu kelihatan pucat dan di bahagian bibirnya terdapat sedikit darah, sekali gus mendorongnya memaklumkan kepada penduduk kampung serta segera ke Balai Polis Nilam Puri untuk membuat laporan.

“Saya tinggal bersama isteri di rumah ini dan ketika penemuan bayi itu tadi isteri tiada di rumah kerana berada di tempat kerja di bandar Kota Bharu, malah sebelum kami berdua turun bekerja pagi tadi tiada kelibat individu yang melalui kawasan rumah.

“Saya masih dalam keadaan terkejut dan menggeletar kerana belum pernah lagi mengalami keadaan seperti ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi perempuan terbabit – berita harian