KOTA KINABALU: Mayat bayi perempuan ditemui dalam keadaan memilukan dengan ususnya terkeluar di kawasan tapak pelupusan sampah Kayu Madang Telipok dekat sini, hari ini.

Bayi malang yang baru lahir itu ditemui oleh pekerja kontraktor di tapak pelupusan berkenaan kira-kira jam 9 pagi, ketika meratakan sampah di kawasan itu.

Susulan penemuan mayat bayi terbabit, pekerja itu kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan di tapak pelupusan sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan bayi sudah bengkak dan ususnya terkeluar.

“Mayat bayi itu kemudian di bawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu (HWKK), Likas dan kematian bayi itu tidak dapat dipastikan.

“Seterusnya bayi itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan berhubungan kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian ini diminta supaya tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Nur Nabila Ismailuddin di talian 013-2809231,” katanya – berita harian