PASIR MAS: Mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di kepala dan muka ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Baru Alor Pasir, Bukit Tuku, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10 malam itu, mayat berusia 20-an itu ditemui orang awam yang kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebaik menerima maklumat kejadian pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya mendapati terdapat mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala.

“Kita sedang menyiasat penemuan mayat itu, dan melihat dari pelbagai sudut untuk mengetahui motif mayat itu berada di situ.

“Pemerhatian awal terdapat kesan luka di bahagian kepala, muka dan tangan,” katanya hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.