MANJUNG: Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam sebuah lombong di Jalan Kuari Tanjung Batu, Pantai Remis, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, mayat itu ditemui dalam keadaan berbungkus dan diikat dengan dawai besi di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata mayat berkenaan ditemui penduduk yang datang ke kawasan itu untuk menjerat burung.

Beliau berkata, anggotanya yang tiba di lokasi sejurus menerima maklumat mendapati mayat itu sudah dibawa ke tepi lombong dengan bantuan pihak bomba.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mayat berkenaan dibungkus dengan kanvas berwarna biru selain kepala dan kaki diikat dengan dawai besi.

“Pada bahagian kaki mangsa juga terdapat ketulan batu seperti batu bata (dipercayai sebagai pemberat).

“Usia mangsa dianggarkan dalam lingkungan 40 hingga 50-an, namun identiti mayat belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hingga tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuhnya yang mula membengkak.

Katanya, polis juga menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi kejadian bagi membantu mengesan suspek dan bahan bukti.

“Lokasi kejadian adalah kawasan lombong tinggal dan laluan ke situ jalan batu tidak berturap serta dikelilingi hutan simpan manakala jarak perjalanan dari jalan besar kira-kira tiga hingga empat kilometer,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau tidak dapat dihubungi supaya tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya – berita harian