PARIT : Mayat lelaki, dipercayai mangsa bunuh, ditemui dengan kesan luka di kepala dan lebam di beberapa bahagian badan di kuari pasir di Batu 9 3/4, Bota Kanan di Bota, hari ini.

Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemui orang awam kira-kira jam 8.20 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, mangsa, dipercayai warga Indonesia, ditemui terbaring dengan hanya berseluar jeans tetapi tidak berbaju.

Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 10 jam lalu selepas turut disyaki terbabit dalam pergelutan dengan individu yang tidak dikenal pasti.

“Hasil pemeriksaan pada mayat mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu menemui dua luka sepanjang kira-kira lima dan 15 sentimeter, dipercayai kesan daripada senjata tajam selain lebam di badan di samping jari hantu kanannya hampir putus.

“Polis percaya berlaku pergelutan antara mangsa dengan individu lain di sekitar kawasan kejadian sebelum mangsa rebah di lokasi dia ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Polis masih belum dapat mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu hanya seorang individu atau berkumpulan.

“Setakat ini, polis masih belum mempunyai maklumat mengenai mangsa kerana tiada sebarang dokumen ditemui.

“Senjata yang digunakan juga tidak ditemui dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti motif dan individu yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.