PENAMPANG: Misteri bau busuk di sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Towering, Jalan Penampang, di sini, sejak pagi tadi, terungkai selepas satu mayat ditemui di sebuah lubang di bangunan berkenaan.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Jamal, 30-an, itu ditemui terbaring dalam lubang berair berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari.

Seorang pekerja dikenali sebagai Hassan, 33, berkata ketika kejadian dia bersama beberapa rakannya baru saja tiba di kawasan bangunan itu untuk menyambung kerja yang tertangguh.

“Bila tiba dalam bangunan itu, saya dan rakan terhidu bau busuk. Kami kemudian memeriksa di kawasan bangunan dan menemui mayat terbaring di dalam lubang itu.

“Kami kemudian memaklumkan kepada majikan sebelum laporan polis dibuat,” katanya.

Sementara itu, anak saudara mangsa, Alex, 30, berkata dia mendapat tahu kejadian itu selepas dihubungi oleh pekerja di bangunan berkenaan.

“Saya kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati mayat itu adalah bapa saudara saya. Kali terakhir saya menemui dia minggu lalu dan keadaannya baik-baik saja,” katanya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya – berita harian