SETIU: Mayat seorang guru lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama tiga yang lain di Sungai Setiu, dekat Jambatan Bandar Permaisuri, ditemui dua kilometer dari tempat kejadian, pagi ini.

Mayat Abd Rauf Mohd Zulkarnain, 27, ditemui terapung dipermukaan Sungai Setiu, selepas tiga hari dihanyutkan arus oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira jam 10.15 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata mayat Abd Rauf yang bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur dihantar ke Hospital Setiu (HS) untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.

“Khamis lalu, mangsa yang berasal dari Jalan Penarik, Bandar Permaisuri, di sini bersama adik lelakinya, Abd Wafi dan dua rakannya berusia 17 tahun ke lokasi kejadian untuk mandi, kira-kira jam 4.10 petang.

“Kejadian dilaporkan berlaku ketika cuaca hujan renyai dan arus sungai deras berikutan hujan lebat dan banjir yang mula melanda sebahagian kawasan di daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkifli berkata, mangsa secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras selepas setengah jam berenang.

Bagaimanapun, katanya, Abd Wafi dan dua lagi rakannya selamat dalam kejadian itu – berita harian