KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dengan tangannya diikat pada bahagian depan badan dengan tali di leher di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Peel, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia dalam lingkungan 40-an ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan longkang di kawasan Blok A, PPR Laksamana, Jalan Peel, sekitar jam 11.15 pagi tadi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa yang berseluar panjang dan memakai baju t hitam terbaring di dalam longkang.

Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai mati dalam tempoh anggaran empat hingga lima hari lalu namun pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di lokasi berkenaan atau lokasi lain.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Pada masa ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan keluarga atau kenalan diminta menghubungi Balai Polis Wang Maju untuk siasatan lanjut – berita harian