Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan kelar di leher di Laluan Sungai Pari, Buntong, di sini pada petang Ahad.

Dalam kejadian sekitar 4 petang itu, J.S. Daljit Singh, 47 ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan semak belakang rumahnya oleh adik kandungnya yang kemudian memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata pihaknya menerima laporan jam 4.49 petang dan bergegas ke lokasi.

“Siasatan lanjut mendapati tiada kesan pergelutan di badan mangsa, dan sebilah pisau berlumuran darah telah dijumpai berhampiran mangsa.

“Pihak perubatan HRPB juga mendapati kesan kelar di sekeliling leher telah memutuskan kulit di bahagian leher dan mangsa mengalami kehilangan darah yang banyak,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mangsa telah dihantar ke HRPB bagi bedah siasat.

Chang Keong berkata, mangsa turut meninggalkan sekeping nota yang dijumpa dalam biliknya dipercayai sebelum insiden berkenaan.

Buat masa ini, kandungan nota berkenaan masih belum didedahkan kepada awam.

Sementara itu, mayat seorang lelaki warga emas ditemui di dalam sebuah kenderaannya di Jalan Raja Ekram, di sini pada petang Ahad.

Chang Keong berkata mayat Yong Chin Keow, 79, ditemui dalam sebuah kenderaan di lokasi berkenaan oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis.

Katanya, pihaknya menerima aduan seorang lelaki tidak sedarkan diri sekitar 7.48 petang dan segera ke lokasi kejadian.

“Sesampainya di lokasi tersebut, polis mendapati seorang lelaki warga emas berbangsa Cina terbaring di dalam kenderaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan lanjut telah dijalankan dan pegawai perubatan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Chang Keong berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan diteruskan.