TAIPING: Mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditemui di sekitar kawasan perumahan berhampiran dengan kawasan sungai di Kampung Benggali, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat berkenaan daripada pasukan MERS 999 sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, mayat mangsa, Mohd Khairul Nizam Md Ldin, 33 dijumpai di bahagian tepi sungai yang dipenuhi dengan semak-samun dan tanaman pokok pisang.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan kecuali luka-luka disyaki gigitan biawak.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah diserang penyakit jantung dan jatuh di tepi sungai berkenaan tanpa diketahui sesiapa tambahan pula kawasan itu jarang dikunjungi orang ramai,” katanya.

Menurut Harrith Kam, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa dan mangsa juga tidak mempunyai sebarang dokumen peribadi ketika ditemui.

Beliau berkata, abang mangsa telah datang untuk melakukan proses pengecaman mangsa.

“Abang mangsa turut menyatakan bahawa arwah adiknya telah lama tidak balik ke rumah dan dokumen peribadinya juga tidak dapat diperolehi di rumah keluarganya di Aulong,Taiping,” ujarnya.

Jelas beliau, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut dan siasatan lanjut akan diteruskan.