KUALA KANGSAR– Mayat seorang lelaki dalam keadaan sudah kembung ditemui tersangkut di bawah jambatan Manong yang dalam pembinaan, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim, mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui tersangkut di perangkap sampah oleh pekerja pembinaan jambatan tersebut.

“Saya telah menghubungi pihak bomba bagi mengangkat mayat yang berada di di dalam sungai, anggota bomba bersama-sama lapan anggota berjaya menaikkan mayat ke darat.

“Pemeriksaan ke atas mayat mendapati dalam keadaan kembung dan dipercayai sudah mati di antara lima ke tujuh hari, mayat juga berpakaian lengkap dengan kaki seluar dilipat hinga ke paras betis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pihak polis tidak menemui sebarang identiti pengenalan diri di tempat kejadian dan hasil bedah siasat mendapati kematian tidak melibatkan unsur jenayah.

Pegawai perubatan turut mengesahkan mangsa mati akibat lemas.