PASUKAN mencari dan menyelamat mengangkat mayat Muhammad Taufiq Mahamad yang ditemukan lemas di Air Terjun Pecah Batu Trong hari ini.

Mayat Muhammad Taufik Mahamad, 29, dijumpai pada pukul 1.55 petang dalam keadaan tersepit di celah batu di bahagian dasar air terjun pada kedalaman lebih tiga meter itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi mencari mangsa yang bermula sejak semalam.

Katanya, anggota penyelamat segera melakukan pencarian di permukaan air di kawasan sekeliling sebelum selaman dilakukan oleh anggota PPDA.

“Anggota PPDA yang meneruskan kerja-kerja selaman itu kemudiannya telah menjumpai mangsa di dasar air terjun tersebut pada pukul 1.55 petang.

“Mayat mangsa ditemukan pada jarak tiga meter dari tebing air terjun dan mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat itu turut disertai empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kita telah menamatkan operasi keseluruhan pada pukul 3.20 petang. – UTUSAN ONLINE