TELUK INTAN: Polis sedang mencari ahli keluarga seorang lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah beg bagasi di dalam kolam takungan air sawit di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kira-kira jam 2 petang 22 Disember lalu, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan penemuan sebuah beg bagasi dalam kolam takungan air sawit, berisi mayat satu lelaki.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati terdapat mayat tanpa pakaian di dalam beg bagasi berwarna Rose Gold berukuran 28 inci itu.

Katanya, terdapat beberapa lukisan cacahan (tatoo) di percayai tulisan siam di bahagian belakang dan hadapan mayat, manakala di lengan kiri terdapat tulisan Cina dan di lengan kanan terdapat lambang berbentuk salib.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Jenayah IPD Hilir Perak ASP Hamzanni Abdul Ghani di talian 019 5732880.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.