MAYAT lelaki dewasa ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan di perairan Pulau Manukan, dekat Kota Kinabalu, jam 4.58 petang hari ini.

Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan.

Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki Ng Hoi Lang, 20, yang dilaporkan lemas, di Pantai Bundusan, Melugus, 22 April lalu.

Berdasarkan laporan itu, pasukan Maritim Malaysia Kota Kinabalu bergegas ke lokasi mayat berkenaan sebelum membawanya ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu.

Mayat terbabit kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke HQE untuk siasatan lanjut.

Menurut ayah kepada Hoi Lang iaitu Ng Mook Sung, dia dihubungi pihak bomba yang memaklumkan mengenai satu mayat ditemui petang hari ini dan meminta kerjasama mereka sekeluarga hadir ke HQE bagi membuat pengecaman.

”Petang tadi, pihak bomba memaklumkan saya dan isteri bahawa pasukan penyelamat menemui satu mayat di kawasan Pulau Manukan, dan kami di bawa ke pos kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar untuk membuat pengecaman mayat melalui gambar.

“Pihak bomba menunjukkan kami gambar mayat, namun agak susah bagi mengenal pasti mayat itu kerana keadaan yang sudah kembung.

“Bagaimanapun, isteri saya mengecam seluar yang dipakai mayat itu. Untuk kepastian sepenuhnya, kami memutuskan untuk bertolak ke HQE untuk proses pengecaman mayat. Kami berharap mayat itu adalah anak kami,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, dalam kejadian 6.15 petang, 22 April lalu, Hoi Lang bersama seorang kanak-kanak Petrus Lai Chui Ming, 12, dilaporkan mandi di kawasan muara berkenaan sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus.

Bagaimanapun, mayat Petrus ditemui sekumpulan nelayan di kawasan pantai, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada 6.50 pagi semalam – hmetro