Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Mayat seorang lelaki ditemui terapung oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tiga Lumut kira-kita 1.4 batu nautika dari perairan Pulau Pangkor pada jam 7.00 petang Ahad.

Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Zulinda Ramly berkata ketika kejadian mayat berkenaan ditemui masih dalam keadaaan berpakaian lengkap namun sehingga kini identitinya belum dikenalpasti.

Katanya, laporan mengenai kejadian tersebut diterima oleh bilik operasi APMM 3 Lumut pada petang melalui maklumat nelayan tempatan

“Sejurus selepas itu, sebuah Bot Kilat 11 yang diketuai oleh Bintara Muda, Maritim Mohd Ramzuzaman Abu Hasan telah diarahkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat berkenaan yang tersangkut di tali yang terapung,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati jantina mayat tersebut adalah lelaki berdasarkan pakaian yang masih berada di tubuh mayat.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mengenalpasti bangsa mangsa berikutan keadaan mayat yang telah mereput.

“Bot Kilat 11 menyerahkan mayat kepada pihak polis lebih kurang jam 10.20 malam tadi untuk siasatan lanjut, ” katanya.