Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Mayat seorang lelaki warga emas ditemui terapung di Taman Tasek Taiping berhadapan Hotel Flamington di sini, hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Taiping berkata, mayat lelaki yang berusia sekitar 70-an itu ditemui oleh orang awam yang beriadah di kawasan berkenaan sebelum segera menghubungi pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu sekitar pukul 1.54 petang dan segera ke lokasi kejadian.

“Setibanya BBP Taiping di lokasi, pihak kami mendapati mayat mangsa berada tidak jauh daripada tebing tasik dan bertindak menarik mayat ke tebing.

“Mayat mangsa kemudian diangkat naik dan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,”katanya kepada pemberita pada petang Isnin.

Jelasnya, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mazli Abd Mutalib itu berakhir sekitar 2.40 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata pihaknya akan memaklumkan laporan lanjut mengenai penemuan mayat itu sebaik sahaja siasatan diselesaikan.