MACHANG: Mayat Sulaili Hassan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, ditemui di tebing Sungai Kelantan dekat Paloh Rawa, di sini, jam 9.45 pagi tadi.

Mayat dijumpai kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dekat Jeti Temangan ketika cuba mengalihkan rumah pam berikutan air pasang.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata, mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui pasukan polis bersama penduduk kampung yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak tiga hari lalu.

“Jarak antara tempat kejadian lemas dengan lokasi mayat mangsa ditemui ialah dalam lingkungan 10km.

“Mayat mangsa dibawa naik ke darat melalui Pengkalan Pasir, Paloh Rawa, dan dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata gerakan SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi tadi selepas penemuan mayat mangsa.

NSTP sebelum ini melaporkan dalam kejadian jam 5.30 petang Ahad lalu, mangsa dikata cuba mengalihkan rumah pam bersama adik iparnya, Ahmad Zamri, 26, sebelum tergelincir ke dalam sungai – berita harian