PASIR SALAK 22 Jan.-Seorang lagi mangsa lemas, Mohammad Raihan Abd. Samad, 6, yang hilang dibawa arus ketika mandi bersama abangnya di tali air peringkat 10, Felcra Changkat Lada, Seberang Perak dekat sini semalam berjaya ditemukan sebentar tadi.

Mayat mangsa dijumpai oleh pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 8.55 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar Zaiful Affendi Ahmad berkata, Muhammad Raihan ditemui pasukan penyelamat selepas lebih 20 jam operasi dijalankan sejak tengah hari semalam.

‎”Mangsa berjaya ditemukan kira-kira 50 meter daripada lokasi abangnya ditemukan petang semalam dan 500 meter dari lokasi dia di katakan tenggelam,” katanya ketika pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Semalam, mayat abangnya, Lukman, 20, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.50 petang yang dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh. – UTUSAN ONLINE