TELUK INTAN: Mayat wanita yang terjatuh di Sungai Pinji, Ipoh tiga hari lalu, ditemui hari ini di Teluk Intan, kira-kira 80 kilometer dari tempat mangsa terjatuh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada orang awam, pada 6.05 pagi Khamis.

Katanya, setibanya di tempat kejadian di Jeti Kampung Bahagia, Teluk Intan, pihaknya mendapati terdapat satu mayat terapung di dalam Sungai Perak.

“Pihak polis telah mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang jatuh akibat kemalangan jalanraya sebelum terjatuh ke dalam Sungai Pinji, Pasir Puteh pada 20 Mei lalu,” katanya di sini.

BERITA BERKAITAN : Pasukan penyelam dan anjing pengesan bantu cari wanita terjatuh Sungai Pinji

Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pada Isnin, Suara perak melaporkan, V. Shalini, 24, dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Pinji selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan jalanraya di atas jambatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Pengkalan Pegoh, Ipoh.

Unit Pasukan Penyelam Dalam Air dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dipanggil untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.