IPOH: Polis menemui mayat seorang pekerja kilang yang disyaki dibunuh, dengan kesan jerut di leher di dalam sebuah lombong di Khantan Bharu, dekat sini, tengahari Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki berumur 23 tahun itu kira-kira pukul 12.20 tengahari.

Lokasi jumpa mayat dalam lombong

Menurut beliau, hasil siasatan awal bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, didapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian mata kiri (lebam), lebam pipi kiri, kesan luka di telinga kiri dan kesan jerutan di leher.

“Mangsa disyaki pergi ke tempat tersebut untuk memancing, joran pancing mangsa didapati telah dipatahkan, kawasan kolam tidak berpagar dan terbuka dan mayat mangsa dijumpai dalam jarak empat meter dari tebing lombong,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Rabu.

Katanya, menurut bapa mangsa, lelaki itu keluar dari rumah kira-kira pukul 1.30 petang Selasa untuk pergi memancing.

Bagaimanapun, ujarnya, kira-kira pukul 3 pagi Rabu, bapa mangsa menyedari anaknya masih belum pulang ke rumah.

Pada Rabu pagi, bapa mangsa mula mencari mangsa di kawasan lombong Kanthan Bharu dan dengan bantuan anggota Balai Polis Kanthan Bharu, dapat mengesan motorsikal mangsa di kawasan lombong Kanthan Bharu.

Beliau menambah, selepas diteliti, dapati mayat mangsa berada di bawah semak di lombong tersebut.

“Tiada sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian, tiada saksi yang melihat kejadian setakat ini dan kawasan kolam tersebut agak sunyi dan tidak berpenghuni.

Mohd Ali memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk tujuan bedah siasat yang dijadualkan pada pagi Khamis.

Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.