PULAU PANGKOR : Mayat remaja yang lemas dipercayai selepas melakukan aktiviti air bersama rakan-rakannya di pantai Teluk Nipah di sini, ditemui tengahari ini.

Mangsa, Mohd Nazrul Helmi Nazri, 17, telah dihanyutkan air ketika menyeberang air yang sedang surut dari Teluk Nipah ke Pulau Giam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mayat mangsa timbul selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan teknik pusaran bot di kawasan berkenaan.

“Setelah membuat teknik pusaran bot dan bersiap sedia untuk menyelam, mangsa telah timbul dan dapat dibawa naik oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis jam 12.14 tengahari.

Pada 3.49 petang Rabu, pihak JBPM Perak menerima maklumat daripada orang awam bahawa mangsa bersama dua lagi rakannya sedang melakukan aktiviti air di pantai tersebut.

Mereka dipercayai menyeberangi air yang sedang surut, tetapi semasa perjalanan pulang ke Teluk Nipah tiba-tiba air pasang dan ketiga-tiga mangsa hanyut.

Dua daripada mangsa sempat diselamatkan oleh bot yang membawa pelancong di lokasi manakala seorang lagi telah dihanyutkan.

Menurut jurucakap JBPM Perak itu, mayat mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

“Tiada kesan luka-luka pada mangsa, cuma struktur kulit yang kecut dsebabkan berada di dalam air masin,” ujarnya.

Fenomena air surut Teluk Nipah ke Pulau Giam dikatakan berlaku hanya setahun sekali di Pulau Pangkor.

Pulau Giam terletak berhadapan dengan Teluk Nipah dan kebiasaannya pengunjung perlu menaiki bot atau berkayak untuk ke pulau tersebut.