KENINGAU: Selepas hampir seminggu hilang, mayat pelajar lemas yang dilaporkan hanyut di Sungai Talangkai, ditemui lewat petang semalam.

Mayat Benly Udin, 16, ditemui orang awam pada jam 3 petang di Sungai Pampangon Sepulut, Nabawan, kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 5.40 petang semalam mengenai penemuan mayat dipercayai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sapulut yang dilaporkan hilang, pada 28 Oktober lalu.

“Ibu bapa mangsa sudah dimaklumkan dan mengesahkan mayat itu adalah anak mereka. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, mayat Benly ditemui lemas pada hari sama selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Talangkai Sapulut.

Bagaimanapun, mayat mangsa yang tersangkut antara kayu dan batu dihanyutkan sekali lagi oleh arus deras ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Sebelum kejadian, pelajar tingkatan empat itu tinggal di asrama sekolah dilaporkan meminta kebenaran untuk keluar asrama dengan alasan pergi ke gereja namun dipercayai pergi ke sungai terbabit bersama rakannya – berita harian